Saturday, March 22

Tips..


Salam...

Sekali-sekala saya teringin untuk post entri yang ilmiah...Mungkin orang lain jarang ke laman DBP. Jadi, saya hidangkan tips menulis puisi..Selamat Berkarya...

BIMBINGAN BERKARYA - PUISI MODEN

Definisi Puisi Moden

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai,”khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.
Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.
Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.
Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.
Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk “Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.
Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan hati”, dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.
Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluas kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.
Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Kerja ‘translator’ sambilan...


Mungkin sudah berapa lama tidak mendengar berita daripada saya. Baru-baru ini saya menerima tugasan yang agak berat. Kakak saya di UM menelefon. Meminta saya menterjemah kertas kerja untuknya. Kertas kajian itu berbahasa Inggeris. Jadi, selama dua hari saya bergelut dengan komputer riba dan sebuah buku tebal bergelar kamus. Seronok dengan tajuk yang diberi, “Penggunaan Orang Tengah Dalam Masyarakat”. Kajian ini merupakan satu kertas kerja yang ditulis oleh dua orang lulusan National University of Singapore. Kerja menterjemah ini cukup menguji. Komitmen peribadi sebagai tutor tidak boleh dinombor duakan.

Friday, March 21

Ragam penulis ‘kecil-kecilan’

Assalamualaikum..

Benarlah penulis veteran ada mengatakan bahawa setiap penulis yang minat (maksud saya benar-bernar berminat) menjadi penulis perlu menjadikan menulis sebagai habit atau tabiat yang dilakukan setiap hari. Namun, bagi saya, menulis bukanlah perkara yang menjadi tabiat setiap hari saya. Tugas sebagai tutor membebani jadual saya dan menjadikan saya selalu menghadap komputer bagi menyiapkan nota yang perlu diberikan kepada murid-murid setiap hujung minggu. Mujur ada kakak yang mengerti dan memahami (Faizatul Najihah) yang kadangkala turut membantu menyiapkan tutorial untuk pelajar-pelajar. Pengalaman mengajar saya agar menjadi lebih matang. Jumpa lagi di entri akan datang

Salam dari Bumi Gading Bertuah…

Tuesday, March 18

Salam Perkenalan Semula

Bismillahirrahmanirrahim..
Sekian lama saya menyepi dari dunia penulisan blog, saya kini kembali untuk menyerikan dunia penulisan siber. Kini saya terasa ingin bertemu wajah lama yang tidak saya tegur buat sekian lama.

Wednesday, March 12

Bila keputusan SPM diumumkan…


Hari yang dinantikan telah tiba…

Hari ini pagi-pagi lagi saya sudah bertolak ke Klang Bandar Diraja. Jantung berdegup kencang. Saya tambah gelabah apabila peti masuk mesej saya dipenuhi dengan mesej mendoakan kejayaan saya (walaupun kadangkala si pengirim minta dibalas). Saya membalas mesej-mesej yang saya anggap beracun itu seadanya. Saya sampai di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang kurang lebih jam 10 pagi. Waktu yang tepat saya kira. Ketika itu keputusan belum diumumkan padahal kenyataan rasmi mengatakan keputusan akan diumumkan sekitar 10 pagi. Saya cuba menenangkan diri, pergi berjumpa sahabat lama. Menanyakan tentang aktiviti musim cuti yang mereka lakukan. Ada yang bekerja di kedai cendol, ada pula yang bekerja di kedai buku tetapi kebanyakan mereka sudah mengambil lesen motosikal mahupun kereta. Peti mel telefon selular saya dimasuki mesej dari abah yang megatakan kami akan keluar bersarapan. Kami keluar makan di sebuah kedai yang agak biasa saya kunjungi ketika keluar dari kawasan sekolah (atau istilah popularnya fly). Di situ saya berjumpa sahabat baik saya, Irfan dan keluarganya. Seronok berjumpa setelah sekian lama tidak berjumpa. Irfan kini berpenampilan baru yang saya rasa sesuai dengan statusnya yang baru ‘terlepas’ dari kem PLKN. Saya masih belum mendengar pengalaman penuhnya sepanjang tempohnya tinggal di sebuah kem di Perak. Seronok… Sekali-sekala berjumpa menjadikan pertemuan kami syahdu dan penuh memori (kalau dah sering sangat berjumpa mula terbit rasa jemu). Dan kami kembali ke kolej ketika nama-nama pelajar yang mendapat A1 bagi semua matapelajaran diumumkan. Antaranya bekas teman sebilik saya (C103), Akmal Hayat. Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya mengecap puncak segala kemanisan bagi kejayaan. Tidak saya lupa juga sahabat-sahabat saya yang belum berjaya mendapat kejayaan semanis yang dinikmati 25 pelajar bertuah. Teman-teman sekelas saya kebanyakannya pulang dengan sebaris senyuman penuh erti. Saya bersyukur. Keputusan 9 A1 telah lama saya jangka (kerana memandangkan saya agak lemah dalam subjek Biologi, Kimia dan EST). Bukan kerana saya tiada motivasi diri, namun naluri saya agak kuat membisikkannya. Shamirul Ahmad bergembira dengan keputusan 8A1, 3A2 dan satu B3. Safwan atau lebih mesra saya gelar Cipon bersyukur dengan 8A-nya. Hanifi terus ghaib dalam keseronokan mendapat A dalam semua mata pelajaran. Irfan? Dia memang saya sudah jangka mendapat keputusan cemerlang. 10 A1 dalam tangannya. Keputusan itu tetap membanggakan baginya kerana katanya dia mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah. Saya katakan padanya, untuk menguasai dalam bahasa asing kita perlu cuba untuk mengamalkannya (nasihat ini bagaimanapun diterbalikkan kepada saya untuk subjek Bahasa Arab). Sirhan, teman sebilik saya mencatat keputusan 7A manakala Fikri Ahmad Nazari bersyukur dengan 8A. Hood teman sebilik saya di Tingkatan 5 mencatat keputusan 9A. Kami memang serasi! Sahabat seperjuangan saya, Azlan Arif mencatat keputusan 9A. Hari itu juga saya pulang ke negeri asal saya, Pahang dengan membawa sebuah fail dan sebuah buku buat tatapan generasi seterusnya…Restu!!

Salam dari Bumi Gading Bertuah…

Saturday, March 8

Berita gembira yang belum pernah saya kongsi...


Assalamualaikum...

Alhamdulillah. Salam teristimewa buat janab Baginda Nabi s.a.w, ahlinya serta sahabatnya. Saya mungkin pernah memberitahu umum bahawa saya ada menyertai satu pertandingan menulis cerpen yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah, apa yang saya kerjakan memang berbaloi. Terima kasih buat ibu bapa, teman serahim terutama Kakanda Faizatul Najihah yang menjadi teman sepermainan sejak kecil, guru-guru di ABS, SK Tg. Lalang, Al-Khairiah dan KISAS yang membimbing, pembimbing dan penggalak sastera, Abi Faisal Tehrani, Kak Nisah Haron, Puan Mahaya Yassin dan semua penggiat karya yang terlibat dalam dunia penulisan, sahabat seperjuangan yang menyokong dan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha saya untuk mencapai kejayaan sebegini manis. Terima kasih buat semua.

Wednesday, October 11

Cerita Tentang Sketsa Kerjaya

Assalamualaikum

Serasa saya, saya belum pernah menceritakan lagi pengalaman terhebat saya ini. Bacalah petikan laporan Sketsa Kerjaya yang saya sertai.

Pasukan sketsa Kolej Islam Sultan Alam Shah telah ditubuhkan pada tahun 2003. Pada April 2006, pasukan ini telah menyertai Pertandingan Sketsa Kerjaya Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Klang. Pertandingan yang diadakan di SMK (P) Convent, Klang itu disertai 11 sekolah lain dari seluruh pelusuk daerah Klang. Pasukan ini telah berehat selama setahun lantaran kesibukan guru dan pelajarnya pada tahun lepas menyambut Jubli Emas Kolej Islam. Berkat usaha ahli pasukan sketsa ini, pasukan ini berjaya menggondol Anugerah Sketsa Terbaik (Tempat Pertama), Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Persediaan Prop Terbaik, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik serta Anugerah Skrip Terbaik. Hanya satu anugerah sahaja yang tidak dapat KISAS ungguli iaitu Anugerah Kostum Terbaik yang dimenangi oleh SMK (P) Convent. Peluang melayakkan ke kejohanan peringkat negeri melipatgandakan lagi usaha murni pasukan ini. Walaupun terdapat halangan dari segi musim peperiksan dan kekangan masa, pasukan ini tetap berlatih tanpa mengabaikan pelajaran. Pada 28 Jun 2006, pasukan ini bertolak ke SK Antara Gapi, Hulu Selangor bagi menyertai pertandingan peringkat negeri selepas beberapa sesi latihan tamat. Sekali lagi pasukan ini mencipta sejarah apabila dinobatkan johan di peringkat negeri. Keadaan pasukan selepas melayakkan diri ke peringkat kebangsaan menjadi kelam kabut kerana kontinjen Selangor Darul Ehsan ini diberi masa sebanyak 3 hari sahaja untuk persiapan terakhir menuju Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Kebangsaan pada 2-5 Julai 2006. Pertandingan peringkat kebangsaan dijalankan di Auditorium Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor D.E. Saingan hebat sekali lagi diterima daripada kontinjen Sarawak, Sabah dan Kelantan. Namun, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Rezeki memang tidak ke mana. Pada 5 Julai 2006, Kolej Islam Sultan Alam Shah dijulang sebagai Johan Sketsa Kebangsaan. Tercetus sejarah memori manis bagi semua peserta dan guru pengiring. Sesungguhnya kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan guru-guru yang berdedikasi.

Salam daie dari Bumi Waqafan