Wednesday, October 11

Cerita Tentang Sketsa Kerjaya

Assalamualaikum

Serasa saya, saya belum pernah menceritakan lagi pengalaman terhebat saya ini. Bacalah petikan laporan Sketsa Kerjaya yang saya sertai.

Pasukan sketsa Kolej Islam Sultan Alam Shah telah ditubuhkan pada tahun 2003. Pada April 2006, pasukan ini telah menyertai Pertandingan Sketsa Kerjaya Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Klang. Pertandingan yang diadakan di SMK (P) Convent, Klang itu disertai 11 sekolah lain dari seluruh pelusuk daerah Klang. Pasukan ini telah berehat selama setahun lantaran kesibukan guru dan pelajarnya pada tahun lepas menyambut Jubli Emas Kolej Islam. Berkat usaha ahli pasukan sketsa ini, pasukan ini berjaya menggondol Anugerah Sketsa Terbaik (Tempat Pertama), Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Persediaan Prop Terbaik, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik serta Anugerah Skrip Terbaik. Hanya satu anugerah sahaja yang tidak dapat KISAS ungguli iaitu Anugerah Kostum Terbaik yang dimenangi oleh SMK (P) Convent. Peluang melayakkan ke kejohanan peringkat negeri melipatgandakan lagi usaha murni pasukan ini. Walaupun terdapat halangan dari segi musim peperiksan dan kekangan masa, pasukan ini tetap berlatih tanpa mengabaikan pelajaran. Pada 28 Jun 2006, pasukan ini bertolak ke SK Antara Gapi, Hulu Selangor bagi menyertai pertandingan peringkat negeri selepas beberapa sesi latihan tamat. Sekali lagi pasukan ini mencipta sejarah apabila dinobatkan johan di peringkat negeri. Keadaan pasukan selepas melayakkan diri ke peringkat kebangsaan menjadi kelam kabut kerana kontinjen Selangor Darul Ehsan ini diberi masa sebanyak 3 hari sahaja untuk persiapan terakhir menuju Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Kebangsaan pada 2-5 Julai 2006. Pertandingan peringkat kebangsaan dijalankan di Auditorium Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor D.E. Saingan hebat sekali lagi diterima daripada kontinjen Sarawak, Sabah dan Kelantan. Namun, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Rezeki memang tidak ke mana. Pada 5 Julai 2006, Kolej Islam Sultan Alam Shah dijulang sebagai Johan Sketsa Kebangsaan. Tercetus sejarah memori manis bagi semua peserta dan guru pengiring. Sesungguhnya kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan guru-guru yang berdedikasi.

Salam daie dari Bumi Waqafan