There was an error in this gadget

Tuesday, August 12

CINTA

Hidup ini penuh cinta. Kita bernyawa kerana cinta. Malahan, kita berjiwa hanyalah milik-Nya. Hidup saya dipenuhi percikan cahaya cinta. Indah sungguh dunia dengan cinta. Saya ada kisah dari pengalaman sebenar. Kawan saya punya banyak ‘sesi’ percintaan. Adakalanya penuh kepura-puraan dan mungkin kesetiaan melampau terhadap pasangan masing-masing. Saya jadi hairan, manusia kini mula melupakan definisi cinta yang sebenar. Mereka melihatnya sekadar hubungan yang kadangkala membawa mereka ke arah nikmat dan nafsu semata-mata. Hidup ini bukan untuk berfoya-foya. Tugas besar menanti di sini, di dunia yang bila-bila sahaja akan musnah dan kita bertemankan sebuah kunci untuk merungkai segalanya. CINTA. Tiga peranan utama manusia adalah Abidullah (hamba Allah), Khalifatullah (khalifah Allah) dan Daie ilallah (penyeru ke jalan Allah). Peranan sebagai Abidullah sudah pasti perlukan cinta. Dengan cinta hamba kepada tuan empunya dirinya, kita masih berfungsi sebagai Abidullah (andai kita betul-betul memenuhi prasyarat yang tertentu). Atas nama cinta pada-Nya, kita juga bersetuju untuk menjadi untuk menjadi khalifah. Ada kisah mengatakan gunung yang tegak perkasa pun menolak permintaan Tuhan untuk menjadi khalifah. Kerana cinta kita kepada Tuhan dan agama-Nya kita harus sanggup menjadi daie ilaallah.

Perkara ini sering menjadi tanda tanya. Adakah dakwah itu kerja kami? Bukan itu kerja orang agama ke? Soalan ini sering diajukan andai ditanya kenapa umat kini tidak menyebarkan agama Islam. Ada juga yang mengatakan dakwah sebagai pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang bergelar daie sahaja. Saya jadi hairan, pendedahan tiada atau keperihatinan itu yang pudar? Persoalan tentang dakwah dan peranan kita dalam masyarakat berbilang bangsa ini cukup kompleks. Ramai yang sering bertanya tentang cara-cara berdakwah. “Kalau saya tidak elok, bagaimana untuk menegur orang lain?”, “Mengapa perlu kita berdakwah?”, “Kalau orang tak mahu dengar nasihat saya, bagaimana?” adalah antara soalan yang sering meniti di bibir ummah kini. Saya mungkin bukan orang yang sesuai untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Bukan kerana saya tidak tahu, tapi saya belum layak untuk memberitahu dan masih mencari jawapan-jawapan kepada soalan-soalan seterusnya. Doakan saya terus gigih dalam mencari erti hidup!

Monday, August 4

MALAM YANG TENANG

Malam ini saya bagai diseksa. Fizikal saya tidak disentuh. Hati dan perasaan saya terseksa. Bukan salah sesiapa. Banyak perkara yang buat saya berasa bagai di penjara dunia. Pertukaran dunia saya dari bidang kejuruteraan ke dunia perubatan membuatkan saya bagai dikelar. Saya teringat sesuatu sewaktu saya buat keputusan ini. Apa yang saya fikirkan dan putuskan akan saya hadapi semampu mungkin. Kata-kata Cikgu Mariah pada satu Rabu di dalam bilik simulasi Matematik, KISAS saya ambil sebagai bahan penting untuk timbang tara. Katanya, kita tentukan apa target kita dan lalui apa sahaja untuk mendapatinya. Dikaitkan juga dengan cara orang Islam mendapat target utama mereka; mardhatillah (orang Islam akan berusaha di dunia untuk mencapai keredhaan Ilahi di akhirat kelak). Maksudnya, amalan kita selama ini bukan untuk bekalan agar dilihat orang, tetapi amalan itu tuntutan penting untuk mendapatkan mardhatillah. Perlukah kita mengeluh andai kita terdampar di batu karang sepanjang pelayaran? Fikirkan semula andai usaha kita selama ini sudah cukup. Bolehkah tercapai impian mendapatkan mardhatillah?

Mengapa harus kita rasa kecewa,

Sedangkan tuhan lebih mengetahui,

Apa yang terbaik untuk makhluknya,

Bukan ditakdir untuk menyeksa…

Friday, August 1

Hidup dan realitinya…


Kehidupan yang kian mencabar dunia hari ini memaksa segelintir manusia melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Mungkin andai dilihat kembali, kita terasa bagai ingin berhenti bernafas. Namun, hidup tetap diteruskan walau apa yang terjadi. Saya ada kisah yang menarik yang ingin saya kongsi. Kisah seorang pemuda yang baru mula belajar mematangkan diri. Usia lewat belasan tahun tidak dihabiskan di bangku pengajian. Masa itu telah dicuri oleh kesempitan keluarga yang semakin hari semakin menghimpit. Dia punya tiga belas adik beradik. Harapan keluarga hanyalah dia seorang memandangkan ayah yang sudah tua semakin uzur dimamah penyakit utama rakyat Malaysia; penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Hati pemuda itu cukup rapuh pada awalnya. Tetapi, motivasi daripada kesusahan itu dijadikan kayu pembakar. Keluarganya punya tanah yang luasnya sekangkang kera. Tanah getah itu punca pencarian keluarga. Pekerjaan pemuda itu bukan pilihan namun demi keluarga digagahkan jua. Pagi-pagi dia bangun. Menjerang air untuk mandian ayah, menyediakan sarapan untuk bekalan adik ke sekolah. Ibu sudah tiada, maka tugas-tugas itu amanah buatnya. Pagi belum cerah, dia sudah terbongkok di antara pokok getah. Kerja di kebun tiada siapa pernah ambil tahu. Adiknya masih kecil untuk memahami semua ini. Hidupnya kian rumit. Ada halangan menunggu di setiap persimpangan waktu. Pertelingkahan harta di dalam keluarga ayahnya belum selesai. Terpaksa dia membiasakan diri dengan tangga mahkamah. Sehari di mahkamah bermakna dia akan kehilangan wang pendapatan untuk hari itu. Bila ada rakan seusia bertanya, apakah bahagia hidup begitu, jawabnya ‘Tuhan itu lebih tahu apa yang hambaNya perlukan, walaupun hambaNya arif apa yang dia kehendaki”.

Renungkan kembali, di mana posisi kita untuk menyesali hidup? Adakah di tempat yang sama dengan pemuda di atas? Mungkinkah pemuda ini dugaan yang dialaminya lebih ringan dari apa yang kita alami? Sentiasalah mensyukuri nikmat anugerah Maha Suci! Alhamdulillah…