Hari yang dinantikan telah tiba. Kami sekeluarga ke Kelantan untuk menziarahi keluarga. Kami bertolak pukul kurang lebih 10 setengah pagi usai menyempurnakan urusan mengahantar borang biasiswa Yayasan Pahang. Kami sampai ke PT 106, Taman Sri Pulau, Kubabg Kerian. Sesampainya kami di sana, azan Maghrib dilaungkan. Kata abah, itu suara abangnya. Saya meragui kata-kata abah. Setelah mendengar betul-betul, saya mengesahkan. Abah cuma membalas.. “Aku taulah dia tu abang aku..” Saya terdiam. Ya, masakan adik sendiri tidak mengenal suara abangnya. Mak Long menyambut kami di tangga. Tidak saya sangka, Mak Long juga perasan perubahan fizikal saya. Saya membalas, “Lima belas kilo Mak Long!”. Mak Long seakan tidak percaya. Usai itu kami cuba memenuhi masa dengan khidmat diri. Saya mandi kemudian menyempurnakan tiang agama. Makan malam itu, saya teman abah, Ayah Long dan seorang lagi kawan ayah Long. Memang saya biasa dengan pak cik tersebut Cuma kami kurang mesra. Keesokan harinya, kami ke Kota Bharu mencari buah tangan untuk kakak saya di rumah dan di UM. Kami membeli-belah dan kemudiannya makan di kedai makanan francais yang terdekat. Usai itu, van abah meluncur laju menuju Pantai Cahaya Bulan. Airnya jernih. Tapi sayang, pantai yang indah itu terhakis dek ombak yang kuat menghempas pantai. Kini yang tinggal hanyalah pantai tidak berpesisir dan timbunan batu bagi menghalang hakisan lanjut. Di situlah saya menerima panggilan daripada Encik Shari daripada Petronas yang menyatakan bahawa saya terpilih untuk Program Toastmaster bagi Pelajar Lepasan SPM. Seronok mendengar berita itu. Saya bersyukur kerana saya memang minat pengucapan awam. Kami bermalam semalaman di rumah Kak Zei. Malam itu, Wakaf Che’ Yeh kami serbu. Ma berhasrat membeli tikar buluh. Ma tengok di rumah Mak Long, tikar itu dibentang. Kemas buatannya. Kami teruja. Bagaimana agaknya rupa ruang tamu kami dengan tikar itu. Seronok membeli-belah, perhatian saya dicuri. Sikap yang ditunjukkan oleh makcik si penjual tikar sungguh berani! Nak tahu apa dibuatnya? MEMAKAI EMAS DENGAN BANYAK! Betul. Sepanjang beberapa hari saya di Kelantan, saya lihat kaum Hawa di sini cukup berani memakai barang kemas dengan banyak. Kalau gelangnya itu, saya anggar beratnya sekitar 0.5 kg di kedua-dua tangan. Hebat! Kalau rantai, usah diceritakan. Kalau tidak ada tiga empat lapis, dianggap aib bagi mereka. Hmm..kalau dah dinamakan wanita Kelantan, tidak memakai emas itu dianggap satu kejanggalan. Saya berfikir, adakah mereka membayar zakat emas setiap tahun? Saya rasa ini isu yang agak penting. Untuk kepentingan umat Islam sejagat. Isu ini Insya-Allah saya akan kupas di lain entri. Jadi, buat sementara ini, jangan buat keputusan melulu tentang zakat harta (emas dan perak) dan kadarnya. Satu perkara yang menarik perhatian saya apabila keluar ke bandar Kota Bharu. Apa yang saya perhatikan, Kota Bharu adalah sebuah bandar aman dan tenteram. Saya tidak berniat untuk menjadikan entri saya ‘political offensive’, namun apa yang saya lihat ini benar-benar berbeza dengan bandar-bandar lain di serata Malaysia. Saya rasa tenteram di sana. Dan saya rasa penjual emas di kaki lima juga merasakan perkara yang sama! Percaya atau tidak, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang pernah saya pergi di mana masih terdapat penjual emas di kaki lima. Hebat bukan? Beberapa hari di sana saya habiskan untuk keluarga dan waris terdekat. Bukan kami tidak teringin untuk menziarahi saudara jauh, namun, masa tidak mengizinkan. Dan entri ini nampaknya berakhir di sini! Jumpa lagi di dalam entri akan datang!
1 comment:
Kelantan best!!
Post a Comment