Sunday, April 20

Tribute for Pesal


Kesyukuran saya panjatkan buat Allah Azza wa Jalla.
Selawat dan salam buat Nabi junjungan mulia. Segala Muslimin yang ada di atas muka bumi ini, semoga Allah merahmati kalian. Tribute ini saya tujukan buat sahabat saya sudi menolong saya sepanjang advencer saya di Bumi Taring Anu!

Wednesday, April 16

Bengkel YTM IV


Malam ini temuduga dimulakan. Saya tidak terpilih malam ini. Mungkin esok. Kami di dalam kelas hanya berbincang sedikit sebanyak. Macam-macam topik dikeluarkan. Deanna yang pertama dari kumpulan kami ditemuduga malam ini. Malam itu, saya betul-betul curi tulang. Orang lain menyiapkan puzzle yang belum tertunggak, saya dengan muka tak tahu malu tidur. Ambillah pengajaran. Jangan curi tulang!

Pagi Khamis, kami berkumpul di dalam dewan semula selepas kumpulan F membuat perjumpaan kumpulan buat kali terakhir. Sedih mengenangkan hari itu. Deanna yang terawal meninggalkan kami. Petang Khamis, Deanna berangkat pulang. Petang itu, saya hubungi Faisal. Tiket saya dibeli. Hari Sabtu tengah hari katanya. Saya lega. Bermakna, saya orang terakhir yang meninggalkan Kolej Multimedia Timur. Perjalanan hari itu cukup mendebarkan. Malam itu, saya ditemudga.

Pagi terakhir, saya hantar pesanan ringkas kepada Syahmi mengajaknya turun makan. Balasan diterima. Syahmi bertanya masih ada makanan disediakan pagi ini. Mesej itu saya balas dan Syahmi beritahu yang dia tunggu saya di biliknya. Kami turun makan bersama. Selepas makan, saya rasa bosan. Saya ajak-ajak ayam Syahmi untuk keluar ke tepi pantai. Tidak saya sangka, Syahmi menerima. Kebetulan pula, ada pasar di tepi Masjid Rusila. Kami mencari-cari sedikit barangan. Saya dan Syahmi tidak ketemu apa-apa. Terjumpa pula gerai sate. Kami beli RM 8.00 buat bekalan makan di tepi pantai. Kami juga membeli air. Berjalan ke tepi pantai cukup mendebarkan. Tak sabar-sabar mata saya ingin menjamah pemandangan laut. Angin cuba menampar pipi. Matahari mula menyengat kulit. Syahmi dan saya mula mencari tempat yang sesuai. Kami mula makan secara ala kadar. Berbual dengan seorang pak cik yang kebetulan berada di situ mendengar ceramah. Ustaz itu pernah mengajar di Pahang. Kami berbual dengannya. Anak- anaknya turut dibawa mendengar ceramah. Khemah dipasang di tepi pantai. Katanya, “Malas nok dengor ceramoh dalam sejid, maklumlah budok-budok ni jenis kucar. Nok main je. Tu yang bawok tepi pantai ni”. Barulah kami tahu, pak cik yang kami perhatikan sejak tadi bukan berkelah semata-mata. Katanya, kurang lebih setengah jam dari sekarang, orang ramai akan memenuhi kawasan kami itu. Kami segera beredar. Bimbang jika terperangkap dalam keramaian. Kami perlu pulang ke blok Lambda, Kolej Multimedia Timur. Pukul 12.00 kami harus bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat. Keadaan kolej tika kami sampai sunyi. Hanya ada kurang lebih 20 orang yang tinggal. Mereka yang tinggal rata-rata akan pulang selewat-lewatnya petang Jumaat itu. Sate yang masih ada beberapa cucuk itu kami berikan kepada teman sekumpulan Syahmi yang sedang menunggu teksi untuk keluar ke bandar Kuala Terengganu. Mulut mereka tidak menyebut, namun, lirikan ekor mata mereka menunjukkan mereka sudah jatuh hati dengan sate kami. Kami pelawa mereka. Salah seorang menjerit kesukaan. “Hmm…over-excited la pulak budak pompuan ni”, bebel saya dalam hati. Saya hanya tersenyum. Kalau buat muka empat belas nanti dikatakan tidak ikhlas! Kami duduk berehat-rehat dalam dewan makan menikmati hawa sejuk dari alat pendingin hawa sebelum naik ke bilik dan tidur sebelum masuknya waktu Zohor.Sebelum tidur kami sama-sama nikmati keindahan alam panorama di tingkat 21 blok Lambda. Kami solat Jumaat di masjid perumahan Medan Jaya. Tempatnya dia atas bukit. Mungkin separas blok asrama kami. Ketika duduk di dalam masjid, telefon selular saya berdering. Syahmi pandang saya. Alamak, saya lupa menghidupkan mod isyarat getar. Saya angkat. Anuar yang bersuara di hujung talian memberitahu yang dia akan bertolak ke lapangan terbang jam dua. Saya hanya memberi respons minimum. Saya akan bersama Syahmi sehingga malam. Petang itu kami hanya berlegar-legar di kawasan kolej. Malamnya, Syahmi yang sudah mengemas barangnya turun bersama saya. Menunggu di dalam bilik VIP. Saya tunggu sehinggalah bapa Syahmi datang menjemputnya. Saya kini tinggal berseorangan. Saya terus mendaki tangga menuju bilik di tingkat empat. Saya terus tidur. Solat Isya’ telah saya sempurnakan tadi bersama solat Maghrib berimamkan Syahmi. Pagi esoknya, hari Sabtu, Faisal datang ke kolej pukul 8 pagi. Saya katakan padanya, saya mahu beli keropok 007 yang popular. Malangnya, gerai yang saya maksudkan tidak beroperasi. Dia langsung mengajak saya ke Losong untuk mencari keropok losong. Niat itu kami tangguhkan apabila Faisal membawa saya ke Taman Tamadun Islam. Melihat binaannya yang indah, saya jadi terleka dan tidak perasan bahawa Faisal akan mengenakan saya. Keadaannya begini, ada bonggol di hadapan. Faisal ‘rempuh’ bonggol itu hingga beg saya hampir terjatuh. Kemudian sambil tergelak dia katakan, “Heheh..Ba’em. Sorry ah. Aku sengaje capur dok sengaje”. Memang lucu andai saat itu dikenang kembali. Kami kemudian singgah ke gerai keropok untuk membeli keropok losong dalam perjalanan ke stesen bas. Sampai di stesen bas, saya dan Faisal makan-makan. Masa begitu dinikmati sepenuhnya. Empat bulan tidak berjumpa dan bergurau senda. Memang di dalam kelas saya memang sering ‘mengosek’ Faisal. Kenangan indah itu saya biarkan belayar bersama impian membuat reunion kelas. Selepas ini, masing-masing belayar entah ke mana meneruskan impian masing-masing. Dan saya sentiasa berusaha untuk tidak sedih kerana ukhuwah itu indah andai bertemu dan berpisah kerana-Nya!!

Tuesday, April 15

Bengkel YTM III

Ini senarai nama kumpulan F.

F1 – Ahmad Ibrahem (Pahang)

F2 – Hafiz (Johor)

F3 – Taufik (Pahang)

F4 – Ammar (Kelantan)

F5 – Fuad (Terengganu)

F6 – Ting (Sarawak)

F7 – Izzat (Selangor)

F8 – Thivviyan (Perak)

F9 – Deanna (Johor)

F10 – Aishah (Terengganu)

F11 – Nad (P.Pinang)

F12 – Sakinah (Pahang)

F13 – Fizah (Perak)

F14 – Amira (Perak)

Dalam kelas itu, aktiviti pertama yang kami lakukan adalah berkenalan antara satu sama lain. Saya pilih Thivviyan sebagai teman bicara. Tak saya sangka dapat berjumpa dengan ketua pelajar SMK Malim Nawar, johan mengarang Esei Pengguna Bahasa Tamil peringkat Kebangsaan. Juga johan Folio Kerjaya Perak. Saya pernah berada sehotel dengannya semasa saya menyertai Sketsa Kerjaya peringkat Kebangsaan di Hotel Goldcourse, Klang. Tidak ada rezeki berjumpa di Hotel Goldcourse, kami berjumpa di Terengganu. Bengkel kami berjalan lancar. Hari kedua mendatang dengan penuh mencabar. Kami makan pagi seperti biasa sebelum masuk kelas. Kelas kami berjalan seperti biasa. Tiba waktu rehat, kami ke dewan makan. Cuma beberapa orang yang turun. Saya memang berniat untuk turun semata-mata bagi memberi peluang kedahagaan terhadap air meloloskan diri. Saya minum dan terus naik ke kelas. Selepas itu, fasilitator bertanya. Apa perasaan bila snek pagi tidak disediakan? Saya hanya gelak di dalam hati. Saya cakap sebetulnya, saya memang tidak berniat langsung untuk makan. Dalam nada kecindan, Wak Nor katakan “Jangan-jangan tengah hari tiada makanan..”

Semua hanya terdiam. Indera keenam saya membetulkan apa yang Wak katakan. Tengah hari itu, kata-kata Wak betul. Memang tiada makanan. Saya ambil keputusan naik ke bilik dan sembahyang. Lepas sembahyang Zohor, saya tidur. Berharap akan bangun pukul 2. Kawan saya mengejutkan saya pukul 2, tetapi saya bangun lebih kurang pukul 2.30. Saya menggelabah. Pergi ke dewan. Menunggu Wak dalam kepanasan. Saya ambil keputusan untuk tidak makan. Malas menyusahkan abang-abang dewan makan. Lepas Wak keluar, soalan pertama yang ditanyaa, “Siapa belum makan?”. Thivviyan bersungguh menyuruh saya mengaku. Saya mengaku. Saya disuruh Wak ke dewan makan. Melihatkan muka saya yang tidak bersungguh untuk makan, Wak mengiringi saya ke dalam dewan makan dan memberitahu mak cik yang berlegar di kawasan itu. Saya mengambil makanan seadanya. Dari situ, saya dengar pengakuan panas daripada mak cik tuan punya tender dalam loghat Terengganu pekat, “Mintok maaf banyok la dik wei..kite memang diberi arahan untuk dok beri makanan mase minum pagi pah tu makan pulok pukul due..”. Saya tersenyum sambil membalas, “Dok pe. Kite kalu dok buleh makan, kite pose. Nok susoh mendenye!”. Hmm… rahsia terbongkar. Ini semua rancangan. Saya bergerak pantas. Usai makan, saya bergegas ke 514. Saya hanya berlagak biasa. Tapi, pada orang sebelah, saya bisikkan apa yang saya tahu. Hanya kami berdua yang tahu.

Petang itu, kami ada tugasan. Kami disuruh merekacipta sesuatu. Kami kumpul dulu barang-barangnya. Saya, Thivviyan dan Aishah bergerak sekali mecari bahan-bahan terbuang. Aishah bertanya pada pengawal keselematan wanita yang ada menunggu di tingkat bawah bangunan jika ada tong sampah kitar semula di kawasan kolej. Jawapannya hampa. Kami terus mengelilingi blok kelas kami dan apa yang saya temukan adalah seikat buku dan kertas yang dibuang di kawasan pembuangan sampah. Kami bergerak ke kawasan pengumpulan barang-barang pembersihan bangunan. Di situ, kami banyak mengutip bahan-bahan terbuang termasuk beberapa gulung karpet lama yang sudah berdebu dan beberapa batang penyapu serta sekaki payung.

Kami bawa kesemuanya ke tingkat lima. Bila digabungkan usaha 14 orang bakal jurutera, kami berjaya menghasilkan prototaip yang tidak boleh digunakan. Menunggu ketibaan penilai yang Wak gelar Sultan Terengganu memberikan kami masa untuk membuat sedikit persediaan khususnya di arena persembahan. Persembahan kami dilakukan dalam dua bahasa. Memang nampak gah. Sampai saja penilai, kami bersemangat. Hati saya berdetak. Alamat protoaip kami akan diapa-apakan. Pada mulanya, penilai hanya memerhati tanpa menyentuhnya. Kemudian, karpet yang kami anggap cadar itu tadi diselak-selak. “Hmm..tak kukuh katil ni. Alas bawahnya cuma fiber halus yang digunakan untuk pendawaian TM. Kakinya cuma helaian-helaian kertas yang banyak diikat bersama”, mungkin itu kata-kata sang penilai. Kemudian, seperti sudah diprogramkan, saya nampak di hadapan mata saya sang penilai duduk dan jatuh terduduk selepas papan yang megalas katil itu patah. Saya berkata dalam hati, “Hmm…as expected!”. Di situ saya mulai sedar bahawa indera saya memang benar. Yang lain semua terkejut. Saya diam. Kemudian sang penilai keluar tanpa sebarang perkataan maaf terlebih dahulu keluar dari mulutnya. Saya hanya melihat. Memang itu tujuan mereka. Melihat reaksi kami marah. Di sini kawalan emosi memainkan peranan cukup penting. Selepas itu Wak Nor bertanya skala kemarahan kami dari 1-10. Berbagai respons yang diterima. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyaklah pula ragamnya.

Monday, April 14

Bengkel YTM II


Oh…hampir terlupa untuk mengkhabarkan bahawa dalam perjalanan turun ke dewan makan, saya betembung dengan 2 orang rakan se-KISAS. Syahmi dan Fadhil sudah sampai ke mari. Setakat petang itu, hanya 2 orang pelajar KISAS saya temui. Malam itu ada taklimat. Penerangan serba-serbi mangenai kem dan biasiswa dipohon. Seronok dapat bertemu orang-orang yang pelik tapi superb..Heheh..memang seronok berjumpa lebih seratus orang dengan pelbagai ragam. Saya teringat kata-kata Irfan. Katanya ada ujian IQ di sini. Mujur saja tidak. PETRONAS memang berkehendakkan pemegang biasiswanya bijak IQ. Tapi TM tidak. EQ dan IQ sama penting. Intelligent quotient merupakan kebijakan pelajar menangkap pelajaran baru. Emotional quotient berbeza. Kemahiran individu mengawal diri agar tidak dikawal emosi amat penting. Perjalanan kem ini setakat ini masih lancar. Jangan pelik andai saya katakan ini program pertama yang saya hadiri tetapi tidak punya jadual. Kata urusetia, kami selepas ini akan duduk di dalam kumpulan yang berbeza fasilitatornya. Lain fasi-nya, lain jugalah jadual yang akan kami jalani. Pagi esoknya, saya terbangun awal. Nizar saya kejut. Mujur tidak terlalu liat. Saya capai kelengkapan dan menuju bilik air di tingkat 3. Bukanlah jauh sangat. Cuma 6-8 mata tangga yang memisahkan tingkat empat dan tingkat tiga. Kami pinjam seterika dari kawan Nizar. Selesai solat dan bersiap di bilik, saya turun ke dewan makan. Besosial sesama bakal-bakal penerima biasiswa Yayasan TM. Berjenis-jenis ragam saya saksikan. Pengalaman pertama menghadapi bengkel temuduga cukup menakutkan. Duduk di dalam dewan, program pagi itu cukup menyeronokkan. Macam-perkara yang kami lakukan. Disuruh bersenam kami bersenam. Menari pun kena. Seronok!! Masa itulah kami berkenalan antara satu sama lain. Menyanyi pun kami lakukan. Semua itu ada tujuannya. Apa-apa pun, kejujuran itu penting. Mungkin itu tema bengkel kami kali ini. Selepas dibahagikan mengikut kumpulan, saya duduk betul-betul di sebelah fasilitator. Hmm..anak bongsu memang suka diberi perhatian. Kami diberi nombor, F1 hingga F14. Dan tentunya saya adalah F1 yang bertuah. Masa itu, macam-macam yang kami lakukan. Diberi fail seorang satu. Diberi 2 keping kad manila yang besar. Tidak lupa dua kotak puzzle yang diamanahkan. Fail itu perlu ditulis nama. Ditebuk lubang di bahagian atas. Kad manila itu perlu dipotong 28. Buat tanda nama, menjadi satu simbol pengenalan diri yang jelas. Ia seperti nombor plat kereta. Kalau tak ada, disaman polis-polis yang berkeliaran (fasilitatorlah!!). Selesai itu kami makan di dewan makan bertentangan. Petang itu, kami mencari bilik. Bilik untuk tempat kami menjalankan latihan dalam kumpulan. Kumpulan kami ditempatkan di tingkat 5, sayap B bilik no. 514. Besar juga biliknya. Saya seperti biasa duduk di tempat biasa sehinggalah kami diarahkan untuk duduk berselang-seli berlainan jantina. Duduk di sebelah sahabat bernama Mira F14 memberikan aura berbeza berbanding duduk di sebelah Hafiz F2.

Bengkel TM I



Hari yang bagi saya cukup menggembirakan. Saya bakal bertolak ke Kuala Terengganu pagi ini. Saya bersiap mengemas barang-barang keperluan. Berdebar juga saya. Maklumlah, ini temuduga pertama saya dan inilah pertama kali saya merantau ke Taring Anu seorang diri. Saya tiba awal di stesen bas. Sempat saya ke Seven Eleven untuk membeli sedikit bekalan kredit prabayar. Saya jengah kaunter Transnasional. Katanya bas sudah sampai. Sambil berlalu ke kereta, saya jeling bas yang dimaksudkan kerani tadi. Oh..bas tiga tempat duduk sebaris. Selesa perjalanan pergi saya ini… Mengambil pengajaran dengan apa yang saya alami semalam, saya ambil keputusan untuk memaklumkan Abah setiap kali saya melewati bandar-bandar tertentu. Kami berhenti 20 minit di Terminal Makmur. Saya buru-buru cari kedai untuk sedikit bekalan sepanjang perjalanan. Tidak lupa juga ke tandas. Kembali ke bas dan tidak berapa lama selepas itu, bas bergerak kembali menuju ke Kuala Terengganu. Saya menikmati perjalanan seadanya. Duduk berseorangan, saya hilangkan bosan dengan berhubungan dengan rakan. Sungguh saya rasa sekejap perjalanan hari itu. Kami tiba di Paka pukul 2 petang dan penumpang semua turun untuk menjamu selera dan menikmati Solat Zohor. Perjalanan diteruskan dan saya tiba di Kuala Terengganu pada pukul 3 petang lebih. Sebelum sampai ke Kuala Terengganu, saya meneliti seandainya ada papan tanda ke Kolej Multimedia Timur. Apa yang saya nampak seimbas lalu hanyalah beberapa menara di balik pokok berwarna kuning. Saya rasa itulah tempat yang bakal saya dan pemohon biasiswa lain duduki. Saya tiba di Hentian Bas Kuala Terengganu selepas rakan saya sampai. Rakan saya menunggu di situ. Kami tidak melencong ke mana-mana. Kami terus menuju ke Marang. Memang rasa diri menyusahkan, namun, saya terpaksa. Mujur ada Faisal yang sudi menghantar walaupun ia dianggap seperti membuat pusingan U. Terima kasih ya, Faisal! Saya tiba di sana memang agak tepat pada waktunya. Saya ambil kunci di kaunter dan menyerahkan segala dokumen diperlukan. Setelah masuk itu, saya naik ke bilik. Bilik saya, B di tingkat empat. Saya menaiki tangga sisi. Mengira jika sudah cukup empat tingkat atau tidak yang telah saya lalui. Saya letih sudah tika saya sampai di ‘tingkat 3’. Saya buka pintu. Terkejut bukan kepalang bila saya melihat papan tanda aras. Saya kini berada di aras 6! Saya ambil keputusan turun 2 tingkat lagi. Sampai di tingkat empat, saya disapa teman yang saya beri kunci untuk ke bilik dahulu sementara saya menyelesaikan urusan di bawah. Mula-mula saya kurang faham akan struktur bangunan ini, tetapi setelah diteliti, saya mulai faham. Satu tingkat bangunan biasa dianggap 2 tingkat di bangunan ini. Saya rasa beruntung ditempatkan di 4B. Antara bilik yang ada balkoni di tingkat empat. Balkoni saya menghadap blok Alpha (a). Saya yang tinggal di blok Lambda (l) masih boleh menikmati pemandangan Laut China Selatan. Lokasinya di atas bukit membuatkan suasana sedikit berangin. Saya teringat tanggungjawab belum terlunas, lantas telefon selular saya dail nombor telefon Abah. Along mengangkatnya. Saya khabarkan keadaan saya di sini. Selesai menghubungi Abah, saya berkenalan dengan teman sebilik, Nizar. Orangnya memang hebat. Dahulu bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka (dahulu dikenali sebagai MRSM JASIN). Berbual membuatkan saya sedikit lapar. Lantas, saya ajak Nizar turun ke dewan makan. Menikmati minum petang bersama Nizar, kami sempat berkenalan dengan Fadzil. Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja yang nampak hebat dan gah. Selimpas mata berlalu pada cara dan gayanya, saya sudah mengagak dia bukan pelajar sekolah biasa. Katanya, dia ada abang dan adik bersekolah di KISAS. Malangnya, saya tidak sempat bersua mereka.

Sunday, April 13

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Kami sampai di kota raya tepat 1.30 tengah hari. Bertiga kami; Along dan Kak Najah dan saya sendiri menuju ke Stesen Masjid Jamek. Kami tunaikan solat Zohor. Menunggu Angah yang baru tamat waktu bekerja sungguh menyeksakan. Kami menunggu sehingga jam hampir menunjukkan pukul 3 petang. Usai makan, kami ke PWTC. Orang ramai sungguh. Padat! Satu perkataan yang cukup untuk menggambarkan keseluruhan pameran. Padat dengan manusia, ilmu dan gerai. (Ilmu itu saya maksudkan buku dan pengalaman). Seronok ke sana. Cuma kesesakan membuat saya lebih penat. Saya buat keputusan bermalam di rumah kawan saya di Cheras. Katanya, kakak keduanya menunggu untuk membawa saya pulang. Saya akur. Saya ke Sogo dulu sebelum ke Masjid Jamek untuk berjumpa kak Liyana. Di Sogo, saya sempat membeli sehelai baju untuk dipakai esok. Saya menuju ke Masjid Jamek tika hari sudah gelap. Sukar untuk saya ceritakan detik-detik malam itu, namun pengajaran yang saya berjaya dapat, berkomunikasi dengan baik boleh membantu perjalanan hidup kita. Saya sedar itu apabila diri terpaksa menyusahkan kak Liyana dengan penantian. Saya tiba di rumah Irfan sekitar 9 malam. Saya akui, memang selesa di rumah Irfan. Bagai di rumah sendiri. Seronok saya lihat cara ayah Irfan menerapkan nilai kehidupan Islamik kepada anak-anaknya. Hari kedua itu, saya sempat ke Plaza Low Yat dahulu sebelum pulang. Saya pulang dengan tiket pukul 7. Sampai di Temerloh, kami dinasihati Ma dan Abah. Kenapa tidak maklumkan perkembangan kami di KL? Saya terdiam. Memang silap kami. Harap saja telefon selular satu seorang. Hubungilah orang yang tersayang!

Saturday, April 12

Petronas atau TM??


Rabu lepas, saya mendapat 2 mesej. Ditulis di situ daripada FOCus. Musykil saya. Setelah dibaca mesej tersebut, baru saya fahami, saya dijemput ke Bengkel Pemilihan Pelajar tajaan Yayasan Telekom Malaysia. Bengkel diadakan di pantai timur; Terengganu Darul Iman. Saya mula risau. Mungkin ada pertembungan dengan Educamp anjuran Petronas. Pada mulanya, hati saya agak berbelah-bahagi. Hari Khamis, En Salam menelefon saya. Saya bingung. Saya katakan padanya saya belum dapat memastikan kehadiran saya di bengkel tersebut. Pesannya, sila berikan kepastian, sebelum tengah hari esok (Jumaat). Saya kemudiannya berbincang dengan keluarga. Semua memberikan sokongan malam itu. Saya nekad. Malam itu juga saya menghubungi kawan sekelas saya, Faisal Adlan. Haha..mungkin nampak seperti mencari kawan semasa susah, tapi saya terpaksa. Saya hubunginya, bertanya jika dia ada lesen memandu. Katanya ada, tapi motosikal sahaja. Saya akur. Kalau hidup di rantau orang jangan ‘demand’ lebih-lebih! Mujur saja ada orang sudi menghantar saya daripada Stesen Bas Kuala Terengganu ke Kolej Multimedia Timur. Saya belum mendapat gambaran tempat tersebut memandangkan saya belum pernah bermusafir ke Negeri Taring Anu secara bersendirian. Pagi Jumaat saya menelefon En. Salam untuk memastikan kehadiran saya dan petang itu juga, saya beli tiket ke Kuala Terengganu pukul 9 pagi hari Isnin. Malam itu, saya tidur awal. Saya perlu berangkat ke Kuala Lumpur. Ada misi penting. Pagi ini, saya dapat pesanan penting! Keputusan ke EDUCAMP telah keluar. Saya sambung talian internet Narrowband 1315. Saya buru-buru periksa status permohonan. Saya tiada rezeki untuk ke EDUCAMP. Saya cuma terdiam. Pada awalnya, saya belum bersedia menerima hakikat. Pada akhirnya, saya dapat menerima hakikat. Saya gunakan pengalaman emosi saya yang pernah dulu beraksi sedemikian bila permohonan MARA saya tidak berjaya. Tetapi, setiap kali saya memaklumkan keluarga saya tentang kegagalan saya dipanggil temuduga, soalan yang akan muncul adalah; “Tak dapat? Kenapa?”. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan semikian rupa. Kenapa saya tidak dipilih bukan urusan saya dan saya tidak diberitahu akan alasan tersebut. Jadi, saya teruskan perjalana ke Kuala Lumpur dengan tenang. Saya terima kegagalan permohonan biasiswa Petronas saya dengan penuh hikmah. Hmm…kemahiran mengawal emosi itu penting dalam membuat kita rasional dalam setiap aksi.

Thursday, April 10

Selamat hari lahir!


Selamat hari lahir buat adikku Nabilah. Semoga dengan meningkatnya umur, meningkat juga pengalaman dan jasa kamu terhadap Islam!! Selamat Berjuang!