Monday, April 14

Bengkel TM I



Hari yang bagi saya cukup menggembirakan. Saya bakal bertolak ke Kuala Terengganu pagi ini. Saya bersiap mengemas barang-barang keperluan. Berdebar juga saya. Maklumlah, ini temuduga pertama saya dan inilah pertama kali saya merantau ke Taring Anu seorang diri. Saya tiba awal di stesen bas. Sempat saya ke Seven Eleven untuk membeli sedikit bekalan kredit prabayar. Saya jengah kaunter Transnasional. Katanya bas sudah sampai. Sambil berlalu ke kereta, saya jeling bas yang dimaksudkan kerani tadi. Oh..bas tiga tempat duduk sebaris. Selesa perjalanan pergi saya ini… Mengambil pengajaran dengan apa yang saya alami semalam, saya ambil keputusan untuk memaklumkan Abah setiap kali saya melewati bandar-bandar tertentu. Kami berhenti 20 minit di Terminal Makmur. Saya buru-buru cari kedai untuk sedikit bekalan sepanjang perjalanan. Tidak lupa juga ke tandas. Kembali ke bas dan tidak berapa lama selepas itu, bas bergerak kembali menuju ke Kuala Terengganu. Saya menikmati perjalanan seadanya. Duduk berseorangan, saya hilangkan bosan dengan berhubungan dengan rakan. Sungguh saya rasa sekejap perjalanan hari itu. Kami tiba di Paka pukul 2 petang dan penumpang semua turun untuk menjamu selera dan menikmati Solat Zohor. Perjalanan diteruskan dan saya tiba di Kuala Terengganu pada pukul 3 petang lebih. Sebelum sampai ke Kuala Terengganu, saya meneliti seandainya ada papan tanda ke Kolej Multimedia Timur. Apa yang saya nampak seimbas lalu hanyalah beberapa menara di balik pokok berwarna kuning. Saya rasa itulah tempat yang bakal saya dan pemohon biasiswa lain duduki. Saya tiba di Hentian Bas Kuala Terengganu selepas rakan saya sampai. Rakan saya menunggu di situ. Kami tidak melencong ke mana-mana. Kami terus menuju ke Marang. Memang rasa diri menyusahkan, namun, saya terpaksa. Mujur ada Faisal yang sudi menghantar walaupun ia dianggap seperti membuat pusingan U. Terima kasih ya, Faisal! Saya tiba di sana memang agak tepat pada waktunya. Saya ambil kunci di kaunter dan menyerahkan segala dokumen diperlukan. Setelah masuk itu, saya naik ke bilik. Bilik saya, B di tingkat empat. Saya menaiki tangga sisi. Mengira jika sudah cukup empat tingkat atau tidak yang telah saya lalui. Saya letih sudah tika saya sampai di ‘tingkat 3’. Saya buka pintu. Terkejut bukan kepalang bila saya melihat papan tanda aras. Saya kini berada di aras 6! Saya ambil keputusan turun 2 tingkat lagi. Sampai di tingkat empat, saya disapa teman yang saya beri kunci untuk ke bilik dahulu sementara saya menyelesaikan urusan di bawah. Mula-mula saya kurang faham akan struktur bangunan ini, tetapi setelah diteliti, saya mulai faham. Satu tingkat bangunan biasa dianggap 2 tingkat di bangunan ini. Saya rasa beruntung ditempatkan di 4B. Antara bilik yang ada balkoni di tingkat empat. Balkoni saya menghadap blok Alpha (a). Saya yang tinggal di blok Lambda (l) masih boleh menikmati pemandangan Laut China Selatan. Lokasinya di atas bukit membuatkan suasana sedikit berangin. Saya teringat tanggungjawab belum terlunas, lantas telefon selular saya dail nombor telefon Abah. Along mengangkatnya. Saya khabarkan keadaan saya di sini. Selesai menghubungi Abah, saya berkenalan dengan teman sebilik, Nizar. Orangnya memang hebat. Dahulu bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka (dahulu dikenali sebagai MRSM JASIN). Berbual membuatkan saya sedikit lapar. Lantas, saya ajak Nizar turun ke dewan makan. Menikmati minum petang bersama Nizar, kami sempat berkenalan dengan Fadzil. Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja yang nampak hebat dan gah. Selimpas mata berlalu pada cara dan gayanya, saya sudah mengagak dia bukan pelajar sekolah biasa. Katanya, dia ada abang dan adik bersekolah di KISAS. Malangnya, saya tidak sempat bersua mereka.

No comments: