Pagi Khamis, kami berkumpul di dalam dewan semula selepas kumpulan F membuat perjumpaan kumpulan buat kali terakhir. Sedih mengenangkan hari itu. Deanna yang terawal meninggalkan kami. Petang Khamis, Deanna berangkat pulang. Petang itu, saya hubungi Faisal. Tiket saya dibeli. Hari Sabtu tengah hari katanya. Saya lega. Bermakna, saya orang terakhir yang meninggalkan Kolej Multimedia Timur. Perjalanan hari itu cukup mendebarkan. Malam itu, saya ditemudga.
Pagi terakhir, saya hantar pesanan ringkas kepada Syahmi mengajaknya turun makan. Balasan diterima. Syahmi bertanya masih ada makanan disediakan pagi ini. Mesej itu saya balas dan Syahmi beritahu yang dia tunggu saya di biliknya. Kami turun makan bersama. Selepas makan, saya rasa bosan. Saya ajak-ajak ayam Syahmi untuk keluar ke tepi pantai. Tidak saya sangka, Syahmi menerima. Kebetulan pula, ada pasar di tepi Masjid Rusila. Kami mencari-cari sedikit barangan. Saya dan Syahmi tidak ketemu apa-apa. Terjumpa pula gerai sate. Kami beli RM 8.00 buat bekalan makan di tepi pantai. Kami juga membeli air. Berjalan ke tepi pantai cukup mendebarkan. Tak sabar-sabar mata saya ingin menjamah pemandangan laut. Angin cuba menampar pipi. Matahari mula menyengat kulit. Syahmi dan saya mula mencari tempat yang sesuai. Kami mula makan secara ala kadar. Berbual dengan seorang pak cik yang kebetulan berada di situ mendengar ceramah. Ustaz itu pernah mengajar di Pahang. Kami berbual dengannya. Anak- anaknya turut dibawa mendengar ceramah. Khemah dipasang di tepi pantai. Katanya, “Malas nok dengor ceramoh dalam sejid, maklumlah budok-budok ni jenis kucar. Nok main je. Tu yang bawok tepi pantai ni”. Barulah kami tahu, pak cik yang kami perhatikan sejak tadi bukan berkelah semata-mata. Katanya, kurang lebih setengah jam dari sekarang, orang ramai akan memenuhi kawasan kami itu. Kami segera beredar. Bimbang jika terperangkap dalam keramaian. Kami perlu pulang ke blok Lambda, Kolej Multimedia Timur. Pukul 12.00 kami harus bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat. Keadaan kolej tika kami sampai sunyi. Hanya ada kurang lebih 20 orang yang tinggal. Mereka yang tinggal rata-rata akan pulang selewat-lewatnya petang Jumaat itu. Sate yang masih ada beberapa cucuk itu kami berikan kepada teman sekumpulan Syahmi yang sedang menunggu teksi untuk keluar ke bandar Kuala Terengganu. Mulut mereka tidak menyebut, namun, lirikan ekor mata mereka menunjukkan mereka sudah jatuh hati dengan sate kami. Kami pelawa mereka. Salah seorang menjerit kesukaan. “Hmm…over-excited la pulak budak pompuan ni”, bebel saya dalam hati. Saya hanya tersenyum. Kalau buat muka empat belas nanti dikatakan tidak ikhlas! Kami duduk berehat-rehat dalam dewan makan menikmati hawa sejuk dari alat pendingin hawa sebelum naik ke bilik dan tidur sebelum masuknya waktu Zohor.Sebelum tidur kami sama-sama nikmati keindahan alam panorama di tingkat 21 blok Lambda. Kami solat Jumaat di masjid perumahan Medan Jaya. Tempatnya dia atas bukit. Mungkin separas blok asrama kami. Ketika duduk di dalam masjid, telefon selular saya berdering. Syahmi pandang saya. Alamak, saya lupa menghidupkan mod isyarat getar. Saya angkat. Anuar yang bersuara di hujung talian memberitahu yang dia akan bertolak ke lapangan terbang jam dua. Saya hanya memberi respons minimum. Saya akan bersama Syahmi sehingga malam. Petang itu kami hanya berlegar-legar di kawasan kolej. Malamnya, Syahmi yang sudah mengemas barangnya turun bersama saya. Menunggu di dalam bilik VIP. Saya tunggu sehinggalah bapa Syahmi datang menjemputnya. Saya kini tinggal berseorangan. Saya terus mendaki tangga menuju bilik di tingkat empat. Saya terus tidur. Solat Isya’ telah saya sempurnakan tadi bersama solat Maghrib berimamkan Syahmi. Pagi esoknya, hari Sabtu, Faisal datang ke kolej pukul 8 pagi. Saya katakan padanya, saya mahu beli keropok 007 yang popular. Malangnya, gerai yang saya maksudkan tidak beroperasi. Dia langsung mengajak saya ke Losong untuk mencari keropok losong. Niat itu kami tangguhkan apabila Faisal membawa saya ke Taman Tamadun Islam. Melihat binaannya yang indah, saya jadi terleka dan tidak perasan bahawa Faisal akan mengenakan saya. Keadaannya begini, ada bonggol di hadapan. Faisal ‘rempuh’ bonggol itu hingga beg saya hampir terjatuh. Kemudian sambil tergelak dia katakan, “Heheh..Ba’em. Sorry ah. Aku sengaje capur dok sengaje”. Memang lucu andai saat itu dikenang kembali. Kami kemudian singgah ke gerai keropok untuk membeli keropok losong dalam perjalanan ke stesen bas. Sampai di stesen bas, saya dan Faisal makan-makan. Masa begitu dinikmati sepenuhnya. Empat bulan tidak berjumpa dan bergurau senda. Memang di dalam kelas saya memang sering ‘mengosek’ Faisal. Kenangan indah itu saya biarkan belayar bersama impian membuat reunion kelas. Selepas ini, masing-masing belayar entah ke mana meneruskan impian masing-masing. Dan saya sentiasa berusaha untuk tidak sedih kerana ukhuwah itu indah andai bertemu dan berpisah kerana-Nya!!
No comments:
Post a Comment